Sultan Johor sudah perkenan senarai Exco baharu
ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah memberi perkenan ke atas senarai barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco) baharu.
Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baginda Tuanku bertitah memaklumkan kepadanya bahawa Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal telah mempersembahkan senarai barisan Exco Kerajaan Johor yang akan dilantik semula.
“Tuanku memaklumkan menteri besar sudah sampaikan senarai barisan Exco yang akan dilantik semula pada esok hari, kalau tidak silap saya.
“Sudah diperkenankan, dan saya bersyukurlah. Bermakna selepas terbentuknya barisan Exco dipimpin menteri besar, maka pentadbiran negeri akan dapat berjalan dengan lebih lancar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas menteri besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, dengan terbentuknya barisan Exco Kerajaan Johor baharu di bawah pimpinan Dr Sahruddin, segala perkara yang dirancang dapat diteruskan.
Selain itu, beliau turut menyatakan kesediaan memberi pandangan kepada Dr Sahruddin untuk bersama melihat Johor terus menjadi sebuah negeri lebih maju dan berjaya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ditemani oleh Dr Sahruddin mengadap Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, sebelum ke Kota Iskandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!