Lelaki cuba lari pemeriksaan polis disyaki curi kabel diberkas
A
A
A
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebelum itu, suspek dikesan memandu lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sungai Chua, Kajang dan memecut sehingga di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ketika diminta berhenti untuk pemeriksaan.
"Polis sekali lagi cuba menghentikan lori berkenaan tetapi dihalang oleh suspek yang melakukan aksi bahaya dengan bergerak (memandu) dari kiri dan ke kanan jalan raya tanpa memberi apa-apa isyarat yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
"Polis terus mengekori lori suspek sejauh 28.4 kilometer sehingga Plaza Tol Ayer Hitam, namun masih tidak berhenti dan terus melanggar palang tol sebelum meneruskan perjalanan ke arah Banting sehingga susur keluar ke Saujana Putra,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Zaid berkata, apabila tiba di Plaza Tol Saujana Putra, lori tersebut sekali lagi melanggar palang tol di situ sebelum masuk ke Jalan Saujana Putra serta melanggar beberapa buah kenderaan di jalan terbabit.
Katanya, lori berkenaan akhirnya berjaya ditahan di Jalan SP 6/2 Bandar Saujana Putra dan suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau itu cuba terjun ke dalam tasik berhampiran untuk melepaskan diri namun berjaya ditangkap hasil bantuan orang awam.
Menurut Mohd Zaid, pemeriksaan mendapati selain 25 batang kabel yang telah dipotong, pihaknya turut menemukan beberapa alat memotong kabel di dalam lori itu manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan yang munasabah mengenai kewujudan kabel bersamanya semasa ditangkap.
Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Wan Noorhasmizan Wan Asri di talian 012-9548532 bagi membantu siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!