Proses bedah siasat mayat anggota komando esok

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

BANTING - Proses bedah siasat mayat anggota komando yang ditemukan terdampar hari ini di kawasan paya bakau di Batu 8, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat dekat sini akan dijalankan pagi esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, pengecaman mayat Lans Koperal Edrin Baintim, 25, telah dibuat oleh abang kandungnya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang masih bujang itu ditemukan oleh orang ramai pada kira-kira 10.30 pagi lengkap berpakaian sut penyelam.

"Mayat si mati akan dibedah siasat esok di Hospital Banting bagi mengetahui punca kematian,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Pada 7 Februari lepas, Edrin yang juga anggota tentera darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa hilang ketika eksesais 'Pari Harimau' iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang, Melaka.

Sementara itu, Fikri Abdullah, 41, berkata, meskipun sedih dengan kehilangan adik bongsunya itu, dia reda dan bersyukur mayat Edrin akhirnya ditemukan.

Ditanya mengenai reaksi ibu bapa mereka, Fikri berkata, susah untuk menggambarkan keadaan mereka yang kini menetap di Kampung Maliau, Tongod, Sabah.

"Ibu dan ayah masih belum terima hakikat yang anak bongsu kesayangan mereka sudah tiada. Sebelum ini, adik pernah beritahu kami yang dia mahu pulang ke kampung tapi disebabkan terlampau sibuk dengan tugasnya, dia menangguh hasratnya itu,” katanya.

Pekerja swasta itu juga berkata, mereka sekeluarga sempat berkumpul semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

"Masa itu adik cuti dua hari, kami berkumpul di rumah kakak di Klang, adik tidak ada menunjukkan sebarang perubahan, dia tetap ceria seperti biasa,” kata Fikri yang menetap di Semenanjung bersama lima lagi adik-beradiknya.

Katanya, Edrin seorang yang tegas tetapi suka bergurau dengan adik-beradik selain amat mengutamakan ibu bapa dan keluarga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!