Apa faedah terajang pintu tandas hari akhir sekolah?
AMAT mengejutkan apabila melihat video aksi sekumpulan pelajar yang merosakkan harta benda sekolah tanpa rasa bersalah dan ia berlaku di sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan.
Difahamkan insiden ini adalah pada hari terakhir persekolahan sebelum sesi baharu dibuka pada bulan depan.
Hari terakhir biasanya ada jamuan hujung tahun dan ada juga pelajar yang memberi hadiah dengan ikhlas kepada para guru walaupun tidak diminta.
Itulah keharmonian dan kasih sayang telah dipupuk sejak dari kecil.
Saling mengasihi dan hormat-menghormati.
Namun berbeza pula dengan sekumpulan pelajar berkenaan yang dengan selamba, malah sambil gelak ketawa menerajang beberapa pintu tandas, merosakkan kipas siling, memecahkan kerusi dan merosakkan papan kenyataan di dalam kelas dengan sengaja.
Paling tak boleh diterima ialah apabila melihat mereka sendiri yang merakam perbuatan tersebut dan menyebarkannya di media sosial tanpa ada unsur paksaan.
Semuanya kelihatan dilakukan seperti secara sukarela dan dengan penuh keseronokan.
Seolah-olah, perbuatan itu tidak salah.
Persoalannya sekarang adalah apa yang mereka hendak tunjukkan sebenarnya?
Apa yang seronok sangat dengan merosakkan harta benda sekolah?
Dan paling penting, tidakkah mereka semua ini takut dengan undang-undang?
Terkini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan sekumpulan pelajar yang terlibat akan dikenakan khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab.
Ia bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi dan dapat memberi kesedaran kepada pelajar lain bahawa sikap yang ditonjolkan adalah elemen negatif yang merugikan banyak pihak.
Sekolah bukan tempat untuk melahirkan generasi seumpama itu tetapi adalah tempat kepada pembentukan sahsiah yang baik hingga dapat melahirkan warganegara berdisiplin.
Daripada meluahkan rasa seronok yang songsang seperti itu, adalah lebih baik pelajar menonjolkan diri dengan sikap-sikap terpuji dan disebarkan di media-media sosial.
Banyak perkara-perkara baik yang boleh dilakukan jika kita mahu menjadi insan baik kerana kesan daripada perkara positif adalah sebenarnya untuk kebaikan diri sendiri juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!