Budak lelaki maut nahas lima kenderaan
KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala 12 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM57.2 Lebuh Raya Senai Desaru, Bandar Penawar pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Penawar) PKPgB Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian melalui talian Merss999 pada jam 4.01 petang Ahad.
Masri yang juga Komander Operasi berkata, sejurus menerima panggilan dua jentera FRT dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dengan 14 anggota dihantar ke lokasi nahas.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan lima kereta iaitu Proton Persona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Honda Insight.
“Seorang mangsa didapati tersepit dalam kereta Proton Pesona, manakala mangsa lain telah keluar sendiri sebelum anggota tiba di lokasi.
"Anggota kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Masri berkata, operasi berkenaan ditamatkan sekitar 5.42 petang dengan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!