Heung-min kembali meledak
SON Heung-min membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila membantu Tottenham Hotspur menewaskan West Ham 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.
Masuk sebagai pemain gantian pemain dari Korea Selatan meledak pada minit ke-72 selepas Emerson Royal membuka tirai jaringan pada minit ke-56.
Heung-min bergelut mencapai prestasi terbaiknya musim ini sehingga memaksa jurulatih Spurs, Antonio Conte meletakkannya di bangku simpanan.
"Tidak ada pemain mahu duduk di bangku simpanan, tetapi ia adalah keputusan yang perlu diterima. Ia ditentukan oleh jurulatih dan saya perlu menerimanya," ujar Heung-min.
Sebelum perlawanan tersebut, pemain berusia 30 tahun itu hanya meledak gol dalam empat perlawanan musim ini.
"Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan. Saya mendapat peluang dan gembira dapat menjaringkan gol.
"Hantaran sangat baik dan sentuhan pertama saya menjelmakan gol," kata Heung-min.
Kemenangan itu melonjak Spurs ke tangga keempat, satu mata mengatasi Newcastle yang bermain kurang satu perlawanan.
Ia adalah kemenangan penting buat Spurs, yang dibelasah Leicester pada hujung minggu lalu sebelum tewas 0-1 kepasa AC Milan dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!