Gempa bumi Turkiye: Sekurang-kurangnya 41,020 terkorban
ANKARA - Sekurang-kurangnya 41,020 orang terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.
Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) seramai 19,436 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa sedang menjalankan misi SAR di kawasan bencana dan sejumlah 216,166 khemah telah dibina di zon gempa.
Misi SAR di zon gempa di wilayah yang terjejas sudah ditamatkan kecuali di wilayah Kahramanmaras dan Hatay, kata ketua AFAD Yunus Sezer kepada pemberita.
Sezer berkata, misi SAR diteruskan di hampir 40 bangunan manakala lebih 6,000 kontena telah disediakan dan lebih 460,900 orang dipindahkan setakat ini.
"Kami kini menerima 318,970 mangsa yang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi di rumah tumpangan awam dan hotel.
"Lebih satu juta mangsa bencana di wilayah itu kini ditempatkan di khemah, kontena dan rumah tumpangan awam," katanya.
Sezer berkata, bantuan tunai sebanyak 10,000 lira Turki (AS$531) telah diagihkan kepada hampir 800,000 rakyat.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim, Murat Kurum berkata, pemeriksaan di 927,000 bangunan di wilayah Gaziantep telah selesai.
"Kita akan melaksanakan kempen pembinaan rumah terbesar dalam sejarah negara kita di 11 wilayah yang terjejas dan akan menyediakan rakyat kita rumah yang selamat untuk didiami,” katanya.
Pada 6 Februari lalu, gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.
Lebih 13 juta penduduk terjejas dan beberapa negara di rantau itu termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat. - Bernama
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!