'Burger Pekak' mula dapat sambutan
SUNGAI PETANI - Bermula dengan membuat burger untuk anak lelaki sulungnya berusia sembilan tahun yang gemarkan makanan itu, terus memberikan idea kepada seorang peniaga Yusmalina Mohd Nawi, 37, dari Bedong dekat sini berniaga burger bajet dikenali sebagai 'Burger Pekak'.
Yusmalina yang memiliki Diploma Kejuruteraan Komputer menjual burger itu dengan harga serendah RM1.50 sebiji untuk burger ayam dan benjo manakala burger daging lembu RM1.80 sebiji di rumahnya di Taman Sungai Lalang, Bedong sambil dibantu suaminya Hamzah Saidin, 43 tahun.
Ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini dia yang mempunyai tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata, burger bajet yang dijual di rumahnya dengan diberikan nama 'Cafe D'Rumah' mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan sejak beroperasi pada penghujung Februari lepas.
"Sebab apa saya dan suami bagi nama 'Burger Pekak', sebab burger kami burger bajet. 'Burger Pekak' ini ibarat kata macam untuk makan sendiri, guna bahan apa yang ada sahaja di rumah. Umpama orang Kedah selalu sebut kopi 'pekak', maggie 'pekak'. Kalau tambah telur, macam burger special itu, kami jual RM2 sahaja.
Yusmalina berkata, burger bajetnya boleh habis terjual antara 40 hingga 60 biji setiap hari selain turut menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Katanya, jualan burger itu pada mulanya sebagai pemasaran untuk memperkenalkan kafe yang beroperasi di rumahnya itu bagi berniaga masakan panas seperti nasi goreng kampung namun tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa termasuk daripada golongan kanak-kanak.
Yusmalina berkata, masakan panas di kafenya itu sudah dijual bermula awal bulan ini yang dimasak oleh suaminya yang pernah bekerja sebagai tukang masak di hotel, malah harga yang dikenakan juga berpatutan serendah RM4 hingga RM5 sahaja.
Sementara itu, pelanggan tetapnya Falina Ramli, 33, berkata dia berpuas hati dengan kesedapan burger bajet berkenaan walaupun tanpa mayonis dan pelbagai sayuran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!