Lebih 200 berkampung di Kampung Bantal
JERANTUT - Lebih 200 peserta bakal berkampung di Kampung Bantal dekat Ulu Tembeling di sini sempena acara buat julung kalinya, The Hidden Village Endurance (HVE) 2023 pada 11 hingga 12 Mac depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, larian tersebut antara usaha mempromosikan kawasan itu yang juga kampung tradisional sebagai lokasi ekopelancongan menarik di Pahang.
Menurutnya, acara larian mengelilingi kampung itu sejauh 4.2 kilometer bagi setiap pusingan selama 24 jam itu akan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.
"Acara yang dianjurkan oleh Team Thebongcit membolehkan peserta menghayati penghidupan penduduk kampung, menikmati alam sekitar yang belum tercemar serta menghayati cara kehidupan penduduk kampung.
"Selain itu, peserta juga dapat menikmati keunikkan masakan tradisi penduduk kampung berasaskan ikan sungai dan tumbuhan seperti gulai asam rong, masak tempoyak, ikan salai, ikan pekasam dan sambal hitam," kata beliau.
Beliau berkata demikian sempena penganjuran acara The Hidden Village Endurance (HVE) dan The Village Fun Walk di pejabatnya di sini pada Ahad
Hadir sama, Pengarah Perlumbaan The Hidden Village Endurance (HVE), Zulkafly Ramli dan Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali.
Tambah beliau, penduduk kampung akan turut menyertai The Village Fun Walk iaitu acara berjalan ria yang akan disertai oleh kira kira 100 penduduk kampung itu dan sekitar iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bukit Mat Daling dan Kampung Gusai.
"Menerusi acara ini, penduduk juga berpeluang menjana pendapatan terutamanya pengusaha makanan, pengusaha perahu, chalet dan rumah inap desa selain penjualan kraftangan dan hasil kampung," jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohd Zakhwan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan penganjur pada masa masa akan datang kerana ia memberi impak dari segi ekonomi kepada penduduk setempat selain promosi dari segi ekopelancongan.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan HVE, Zulkafly Ramli berkata, Kampung Bantal dipilih kerana keunikan kampung di pedalaman itu baik dari keindahan alam sekitar dan keramahan penduduk setempat.
"Industri pelancongan yang paling terjejas teruk sejak penguatkuasa Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
"Kita berharap penganjuran program ini dapat membantu merancakkan lagi rantaian ekonomi setempat ke arah yang lebih positif terutamanya penduduk di pedalaman Ulu Tembeling khusus di Kampung Bantal," ujar beliau.
HVE adalah acara kelima dianjurkan oleh Team Thebongcit sejak penubuhannya pada tahun 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!