LCS pertama beroperasi pada 2026

Kerajaan menjangkakan LCS pertama dapat beroperasi sepenuhnya menjelang 2026. - Gambar hiasan
Kerajaan menjangkakan LCS pertama dapat beroperasi sepenuhnya menjelang 2026. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan menjangkakan kapal tempur pesisir (LCS) pertama dapat beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mengikut perkiraan kapal pertama itu dijangka siap tahun depan, namun ia perlu menjalani beberapa proses sebelum dapat digunakan sepenuhnya nanti.

Menurutnya, setiap kapal yang siap dibina perlu melalui sekurang-kurangnya dua ujian iaitu melibatkan penilaian di pelabuhan dan penilaian di laut, yang mana kedua-dua ujian berkenaan dijangka mengambil masa antara 20 hingga 24 bulan.

“Saya sendiri lihat dalam gudang Boustead Naval Shipyard, semua sudah dibeli dan enjin semua sudah ada. Bahkan untuk kapal pertama, enjin, kotak gear, bebaling sudah ada dalam kapal dan tinggal hendak pasang alat pertahanan, persenjataan dan elektronik sahaja.

"Semua blok-blok kapal sudah dipasang, cuma blok teras tersebut kerana memang dikosongkan untuk memasukkan sistem elektroniknya. Jadi tak boleh pasang lagi kalau tidak kena buka balik, yang lain sudah ada.

"Istilah siap pembinaan ini ada dua perkara. Pertama, siap pembinaan dalam limbungan. Perkara kedua ialah selepas siap dibina, LCS ini perlu menjalani ujian penilaian di pelabuhan kerana nak tengok dia senget ke, boleh terapung dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang memintanya menjelaskan perjalanan terkini projek LCS.

Januari lalu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub mengumumkan perolehan kumpulan pertama LCS dikurangkan daripada enam kepada lima selepas proses permohonan semula dilakukan.

Katanya, keputusan itu dibuat ketika kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan kapal tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!