Lapan 'kutu sampah' di Klang kena kompaun
KLANG - Lapan individu dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 kerana membuang sampah di kawasan tidak ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Klang (MPK), kompaun itu dikeluarkan anggota Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Dato Abdul Hamid 5, Taman Sentosa dan Jalan Hulubalang 29.
"Hasil risikan dan pemantauan, pasukan (ditugaskan) menahan lapan individu yang membuang bungkusan sampah domestik dan sampah pukal di lokasi kawalan.
"Lapan individu terbabit didapati membuang sampah iaitu bungkusan sampah domestik di tempat yang tidak ditetapkan oleh pihak majlis (MPK)," menurut kenyataan itu di laman Facebook MPK pada Isnin.
Dalam pada itu, MPK turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran masing-masing.
"Masyarakat sepatutnya perlu ada kesedaran dalam diri untuk menjadi individu yang bertanggungjawab dalam hal kebersihan dan bukannya menjadi ‘watak’ pengotor di komuniti tempat tinggal anda," kata MPK.
Menurut MPK dalam kenyataan sama, operasi penguatkuasaan seperti itu akan diteruskan dalam kawasan PBT berkenaan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada ‘kutu sampah’ yang menimbulkan masalah kebersihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!