Dewan Rakyat ucap takziah buat keluarga komando Edrin
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Tentera Darat, Lans Koperal, Edrin Baintim yang ditemui lemas dekat Tanjong Sepat, Kuala Langat Selangor pada Ahad.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mendiang yang juga anggota komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam lebih seminggu lalu.
“Saya menjemput semua ahli Parlimen dan rakan-rakan semua untuk kita menyatakan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mendiang Lans Koperal, Edrin Baitim.
“Mayat mendiang dijumpai selepas lebih seminggu dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, Edrin, yang juga anggota tentera darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando, dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa hilang ketika eksesais 'Pari Harimau' iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang, Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!