Nilai Haaland cecah RM5.3 bilion

Haaland sudah meledak 32 gol selepas menyertai City dari Dortmund. - Foto EPA
Haaland sudah meledak 32 gol selepas menyertai City dari Dortmund. - Foto EPA
A
A
A

NILAI pemain sensasi, Erling Haaland ketika ini mencecah tanda harga 1 bilion euro (RM5.3 bilion) menurut ejen bintang Manchester City itu.

Selepas meninggalkan Borussia Dortmund, pemain berusia 23 tahun itu mengharungi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cemerlang apabila sudah meledak 32 gol dalam semua pertandingan.

Ia lima gol mengatasi pencabar terdekatnya, Kylian Mbappe - merentasi lima liga teratas Eropah musim ini dengan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu juga menarik minat Real Madrid.

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti juga berminat untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Norway itu dengan ejennya Rafaela Pimenta percaya ia akan memecahkan rekod bagi mendapatkan khidmatnya.

“Erling Haaland bernilai €1 bilion (RM5.3 bilion). Itu bukan tekaan, saya pasti," kata Pimenta.

Beliau berkata, tawaran bayaran perpindahan tersebut disifatkan sebagai tidak masuk akal, tetapi berdasarkan kualiti serta usia Haaland yang masih muda ia adalah relevan.

“Mereka mungkin mengatakan ia tidak masuk akal. Sebuah kelab tidak akan membayar satu bilion, tetapi umurnya, kualitinya, perkembangannya dan cara dia bermain adalah sebab saya bercakap tentang satu bilion.

“Masa depan tidak diketahui, tetapi ia akan datang,” ujar Pimenta.

Pimenta menguruskan ramai pemain berprofil tinggi selepas mengambil alih agensi Mino Raiola susulan kematian ejen super itu tahun lalu.

Pemain tengah PSG dan Itali, Marco Verratti adalah salah seorang di bawah kendaliannya dengan Pimenta mengimbas mengenai kesetiaan pemain berusia 30 tahun itu tidak akan meninggalkan Parc des Princes.

“Adalah mustahil untuk membayangkan Verratti di tempat lain. Tidak pernah! Dia hanya menyayangi PSG,” katanya.

Kontrak Verratti bersama PSG yang berakhir musim lalu disambung sehingga empat tahun sejak menjejakkan kaki di Parc des Princes pada 2012.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!