Usul Shahidan bincang pengeluaran KWSP ditolak
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin menolak usul tergempar Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk membincangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Shahidan dalam usulnya berkata, melihat kepada kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini adalah wajar untuk kerajaan menyegerakan pengeluaran wang berkenaan secara bersasar.
Malah katanya, adalah menjadi tanggungjawab ahli Parlimen untuk mengotakan janji untuk membantu rakyat yang semakin terdesak ketika ini.
“Saya merasakan isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti yang dilakukan sewaktu era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri supaya membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar (dan) berperingkat.
“Pastinya pengeluaran KWSP secara bersasar menjadi kepentingan utama orang awam kerana ia merupakan wang milik mereka,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Jelas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, kerajaan perlu mengambil kira beban yang ditanggung rakyat yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan penggal baharu sekolah tidak lama lagi.
“Pencarum memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 tidak lama lagi serta Ramadan dan Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mencadangkan supaya Shahidan membawa semula usul berkenaan.
“Insya-ALLAH, sesi bajet akan berlaku pada 24 Februari dan saya harap Arau (Shahidan) bawa isu ini sekali lagi untuk dibahaskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!