Agong tinjau proses naik taraf jeti Pulau Tioman
ROMPIN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan mencemar duli meninjau proses naik taraf jeti Kampung Tekek, Pulau Tioman di sini yang merupakan antara laluan masuk utama ke pulau peranginan itu.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke jeti itu, diiringi oleh anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Turut hadir ialah barisan pentadbiran kerajaan negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada tinjauan itu, Al-sultan Abdullah juga berkenan mendengar taklimat ringkas proses menaik taraf jeti itu daripada pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Hafizah Zakaria.
Selepas meninjau jeti Kampung Tekek, Al-Sultan Abdullah turut mencemar duli ke Kampung Salang, juga di Pulau Tioman untuk ke jamuan rakyat bersama penduduk di situ.
Tinjauan itu merupakan sebahagian daripada pengisian program lawatan kerja Seri Paduka ke Pulau Tioman selama dua hari yang bermula semalam.
Sementara itu seorang pengusaha resort yang ditemui di sini, Zainal Abdullah, 47, berkata, beliau berharap kunjungan Seri Paduka bagi meninjau jeti Kampung Tekek itu dapat membantu mempercepatkan proses naik taraf jeti berkenaan, untuk kemudahan pelancong dan penduduk.
Menurutnya, pergerakan feri dan bot yang masuk ke Kampung Tekek ketika ini menggunakan jeti marina yang terletak berhampiran dengan jeti asal.
"Walaupun feri dan bot masih boleh masuk ke sini, namun diharapkan jeti yang dinaik taraf itu dapat memastikan proses keluar masuk pulau berjalan lebih selesa dan lancar.
"Ia juga secara tak langsung menjadi nilai tambah untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong, seterusnya menambah pendapatan penduduk tempatan kerana majoriti kami terlibat dengan bidang pelancongan," katanya yang mengusahakan 12 bilik penginapan di Kampung Tekek.
Pengusaha kenderaan sewa Mazlan Mohd Salleh, 54, yang senada menambah, penduduk Pulau Tioman mahu 'bangkit semula' selepas lama terkesan dengan pandemik Covid-19, menyebabkan mereka amat berharap agar proses naik taraf jeti itu dapat disiapkan mengikut waktu.
Berdasarkan jadual, projek yang bermula pada tahun lepas itu dijangka siap pada tahun 2024 dan Mazlan secara peribadi juga berharap pengurusan jeti dapat diperkemaskan antara feri penumpang dan kargo, bagi meningkatkan imej pulau di mata pelancong.
"Kita harap ketibaan feri penumpang diselia dan tidak bertembung dengan feri kargo... biar mereka (pelancong) tiba dengan selesa di sini kerana ia boleh menarik mereka untuk kembali semula pada masa akan datang," katanya yang telah 32 tahun menetap di situ. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!