403,637 calon duduki peperiksaan bertulis SPM

Calon SPM 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Mohd Said menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 semasa tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Calon SPM 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Mohd Said menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 semasa tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 403,637 calon mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini hingga 15 Mac melibatkan 131,318 pengawas peperiksaan di 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Di KUALA LUMPUR, 19,932 orang calon merangkumi 15,500 calon sekolah kerajaan, agensi kerajaan (250), sekolah swasta (2,513) dan persendirian (1,669) menduduki peperiksaan itu di 154 pusat peperiksaan melibatkan 2,011 orang petugas peperiksaan, kata Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab Wahab di sini.

Di MELAKA, 12,907 orang calon merangkumi 11,037 calon sekolah kerajaan, agensi kerajaan (694), sekolah agama (23), sekolah swasta (211) dan calon persendirian (942) menduduki peperiksaan itu di 102 pusat peperiksaan melibatkan 1,235 orang petugas peperiksaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan dan Perancangan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Rahimah Mohamed selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson berkata, sejumlah 32,736 calon menduduki SPM di negeri itu dan daripada jumlah tersebut, tiga calon menduduki peperiksaan di hospital kerana sakit manakala 108 orang merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK).

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman ketika menyantuni pelajar SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan memaklumkan seramai 20,850 calon SPM termasuk 116 calon CBPK menduduki peperiksaan di 263 pusat disediakan, namun lapan daripada jumlah tersebut mengambil peperiksaan di tiga hospital kerana terlibat kemalangan jalan raya.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 16,815 calon menduduki SPM di 144 pusat peperiksaan berbanding 16,758 calon pada 2021 iaitu pertambahan sebanyak 57 calon (0.3 peratus), kata Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Dr Norisah Suhaili.

Beliau berkata, ia membabitkan 14,869 calon sekolah kerajaan, swasta (770), persendirian (638), Maktab Rendah Sains Mara (393), sekolah agama rakyat (81) dan sekolah kerajaan negeri (64) dengan keseluruhan 1,335 petugas peperiksaan.

Di SARAWAK, sejumlah 36,523 calon merangkumi 34,268 calon sekolah kerajaan, persendirian (1,107), sekolah swasta (766), sekolah agama (24) dan agensi lain (358) menduduki peperiksaan itu di 259 pusat peperiksaan, kata Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Rizuan Mohd.

Di PULAU PINANG, terdapat 19,501 calon peperiksaan SPM dengan 147 pusat peperiksaan namun daripada jumlah itu 15 calon menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan manakala lima calon lagi akan menduduki peperiksaan itu pada masa yang lain kerana menjalani kuarantin susulan disahkan positif Covid-19, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Di TERENGGANU, 18,751 pelajar menduduki SPM di 176 pusat peperiksaan yang melibatkan 16,891 calon sekolah kerajaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) (564), sekolah agama (233), sekolah swasta (69), persendirian (904) dan sekolah agama rakyat (90), kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Awi Salleh.

Di KELANTAN, seramai 27,119 calon menduduki peperiksaan itu di 286 pusat peperiksaan dengan melibatkan 2,809 petugas, kata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Zin Halim selepas melawat SMK Agama Naim Lilbanat.

Di PERLIS, 3,569 calon menduduki peperiksaan SPM di 35 pusat peperiksaan dan daripada jumlah itu, 121 adalah calon persendirian, kata Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Di KEDAH, Pengarah Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad dalam kenyataan berkata, seramai 29,745 calon menduduki peperiksaan itu di 264 pusat peperiksaan.

Di JOHOR, 48,759 calon merangkumi 1,796 calon persendirian dan 149 CBPK menduduki peperiksaan SPM di 367 pusat peperiksaan melibatkan 4,823 petugas, kata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Anuar Sukiran.

Sementara itu, di SABAH, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mohd Zaini Yanin berkata, seramai 40,148 calon merangkumi 36,026 pelajar sekolah kerajaan, agensi kerajaan (456) dan sekolah agama (257) menduduki peperiksaan itu di 314 pusat peperiksaan melibatkan 15,281 petugas.

Beliau berkata, JPN juga akan menggerakkan Op Payung dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sekiranya berlaku bencana banjir untuk membantu calon SPM sampai ke pusat peperiksaan.

"Ibu bapa diminta menghubungi sekolah sekiranya mendapat kesukaran ke pusat peperiksaan agar bantuan segera dapat dihantar. JPN menyediakan Bilik Gerakan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung di talian 088-513583,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!