Jumpa bayi atas wakaf rehat
DUNGUN - Seorang peneroka dan isterinya terpaku apabila menemui seorang bayi lelaki berbalut kain tuala berwarna ungu di atas sebuah wakaf rehat di kawasan simpang Felda Jerangau, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Ibrahim Dollah, 71, berkata, ketika kejadian dia yang ditemani isterinya Wan Misah Wan Husin, 65, dalam perjalanan pergi ke ladang sawit mereka untuk memotong rumput.
Bagaimanapun, katanya, ketika melepasi wakaf bermozek itu isterinya menyedari ada objek berbalut menyerupai bayi di atas wakaf sebelum dia mengundurkan kereta dan mendekatinya.
"Lepas tengok, memang betullah bayi. Bayi itu nangis dengan kuat jadi pakcik dukungnya, pakcik takbir di telinganya, raup muka dan tepuk-tepuk badannya sebelum bayi itu kemudian berhenti menangis.
"Kemudian pakcik minta isteri dukungkan bayi itu sebab pakcik pergi dapatkan bantuan di kedai makan yang terletak kira-kira 500 meter dari wakaf itu sebelum pemilik kedai makan itu menyuruh pakcik hubungi talian kecemasan 999," katanya.
Bayi yang cukup sifat berkulit cerah yang dianggarkan berusia lingkungan dua minggu itu didapati turut memakai lampin pakai buang.
Menurut Ibrahim, dia pergi mendapatkan bantuan untuk menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan itu.
Katanya, penemuan bayi itu menyebabkan dia dan isteri sedikit panik kerana tidak pernah melalui situasi itu seumur hidupnya.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan berkenaan, Maznah Abdul Ghani, 51, berkata, selepas diberitahu mengenai penemuan itu, dia segera pergi melihat bayi itu.
"Masa saya sampai ke wakaf itu, bayi itu nangis mungkin sebab sejuk atau lapar jadi saya baiki tuala yang balut tubuhnya.
"Tak lama kemudian makin ramai orang datang tengok bayi itu sebab penemuan itu turut tular di media sosial. Selepas itu bayi itu dibawa ke Klinik Felda untuk dapatkan rawatan," katanya.
Katanya, dia tidak berada lama di wakaf itu kerana perlu menguruskan kedai makannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi itu.
Katanya, selepas menerima rawatan di klinik bayi itu dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!