Perarakan bawa replika senjata, PH Terengganu lapor polis

Raja Bahrin membuat laporan polis berhubung perarakan membawa replika senjata oleh Pemuda Pas di Balai Polis Kuala Terengganu pada Isnin.
Raja Bahrin membuat laporan polis berhubung perarakan membawa replika senjata oleh Pemuda Pas di Balai Polis Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu membuat laporan polis berhubung isu perarakan bersama replika senjata oleh Pemuda Pas di Setiu, pada Jumaat lalu.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad kira-kira jam 12 tengah hari di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini.

Jelas beliau, laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan terhadap isu yang disifatkan memberi persepsi tidak baik terhadap mesej kedamaian dibawa Islam.

"Pas kini lebih berani dan lebih bebas malah menunjukkan sikap ekstrem mereka berarak di jalanan bersama alat berbentuk (replika) senjata serta lengkap berpakaian perang.

"Mereka bukan sahaja berarak malah turut menggunakan (membawa) alatan (replika) berbentuk pedang dan lembing yang menimbulkan kebimbangan orang awam.

"Apa niat sebenarnya pertunjukan persediaan untuk berperang ini dibuat di khalayak ramai. Bukankah Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini telah bertitah meminta kestabilan negara dipelihara, namun apa yang dilakukan sebaliknya," katanya selepas membuat laporan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, acara terbuka itu secara jelas menimbulkan intimidasi dan kerisauan orang ramai bahkan ia turut dihadiri pemimpin Pas di peringkat negeri dan pusat.

"Penglibatan pemimpin Pas sendiri menunjukkan seolah-olah mereka merestui tindakan itu.

"Justeru kami menuntut pihak keselamatan negara khususnys Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang serius isu ini demi ketenteraman dan keharmonian negara," ujar beliau.

Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik selepas ia tular di media sosial sejak Ahad.

Pelbagai pandangan dilontarkan netizen, ada yang menyokong malah ada juga yang mempertikaikan tindakan itu kerana disifatkan seolah-olah mempamerkan sisi 'ganas' dan ekstrem parti tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!