Video gaduh tular: Dua lelaki ditahan bantu siasatan

Tangkap layar video kejadian pergaduhan di Taman Nusa Bestari Skudai.
Tangkap layar video kejadian pergaduhan di Taman Nusa Bestari Skudai.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Taman Nusa Bestari, Skudai pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di Larkin, pada Isnin.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri mengesan satu video tular berdurasi tujuh saat memaparkan pergaduhan beberapa lelaki.

"Akibat pergaduhan itu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan ringan di badan.

"Suspek yang ditahan menyatakan pergaduhan bermula di dalam sebuah pusat hiburan sebelum berlarutan hingga ke luar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Rahmat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri seterusnya melakukan pemeriksaan ke atas pusat hiburan tersebut.

"Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan pasport dan pusat hiburan itu didapati beroperasi melebihi had masa.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelasnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan lima lagi suspek yang terbabit dalam kejadian pergaduhan itu.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk memberikan keterangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!