PRN: PH Pulau Pinang akan bincang kerjasama dengan BN
GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, pertemuan itu akan diadakan selepas mesyuarat PH Pulau Pinang yang akan diadakan nanti.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah membincangkan mengenai rundingan dengan BN, bagaimanapun tiada tindakan lanjut berikutan belum mendapat arahan PH Pusat.
"Kini, kita sudah terima arahan bahawa kita boleh mengadakan rundingan dengan BN untuk menghadapi PRN di Pulau Pinang tetapi kita masih belum mulakan proses ini.
"Pertemuan ini akan dimulakan apabila semua pihak dapat hadir untuk memulakan proses rundingan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, di sini pada Isnin.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri akan membentangkan usul bagi mengosongkan kerusi diwakili empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 6 Mac depan.
Jelasnya, usul tersebut akan dibentangkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sahih.
"Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa klausa-klausa dalam perlembagaan negeri yang melarang seseorang ADUN dipilih keluar parti adalah sahih,”katanya
Empat ADUN dimaksudkan ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khalid Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).
Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman empat ADUN berkenaan terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker DUN berhubung usul yang dibentangkan pada Oktober 2020 supaya mengosongkan kerusi masing-masing, sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!