Sultan Selangor berkenan terima menghadap Speaker DUN Sarawak
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Asfia Awang Nasar di Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Beberapa keping gambar pertemuan Sultan Selangor dengan Speaker DUN Sarawak itu dikongsikan melalui hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office pada Isnin.
Selangor Royal Office dalam hantaran turut memaklumkan baginda berdua turut meraikan Mohamad Asfia yang ditemani isteri, Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar dalam satu majlis santapan tengah hari.
“Baginda berkenan membawa Tan Sri (Mohamad) Asfia melawat ke sekitar Istana Alam Shah serta Masjid Istana Diraja untuk menunjukkan koleksi-koleksi bersejarah yang disimpan di istana ini,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di laman sosial itu pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!