Kerajaan PH usah berselindung di sebalik kesalahan
KOTA BHARU - Kerajaan PH perlu menerima kenyataan dan tidak perlu berselindung di sebalik kesalahan andai wujud pandangan yang mengatakan pakatan itu hanya mampu bertahan untuk sepenggal sahaja.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor berkata, hakikat sebenarnya rakyat juga sudah tahu satu persatu pembohongan yang dilakukan mereka yang gagal melaksanakan janji sejak PRU14 lalu.
“Sudah-sudahlah salahkan kerajaan terdahulu kononnya banyak hutang ditinggalkan. Walhal, menteri-menteri yang dilantik inilah sepatutnya memberi idea tersendiri untuk membantu memberi manfaat kepada rakyat.
“Sekali lagi kegagalan menteri-menteri separuh masak dalam Kabinet ini gagal, dengan pelbagai bukti yang ada, rakyat sendiri tertawa bila melihatnya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang memberitahu pihaknya maklum dengan ketidakpuasan hati rakyat terhadap PH namun percaya gabungan itu mampu meyakinkan rakyat selepas menunjukkan perbezaan dalam pentadbiran.
Hariri berkata, ekonomi yang merudum ini disebabkan oleh ketidakpercayaan pelabur asing terhadap kebolehan kerajaan baharu ini serta ketidaktentuan iklim politik PH sendiri.
Malah, beliau memberitahu, ia amat berbeza di zaman BN apabila pelbagai limpahan pelaburan masuk kerana yakin dengan kerajaan yang stabil dan kukuh.
“Kejatuhan bursa saham yang paling teruk dalam sejarah Malaysia setelah sekian lama ini adalah akibat kejatuhan penarafan antarabangsa terhadap pengurusan kewangan negara.
“Terimalah kenyataan bahawa kerajaan baharu ini sebuah kerajaan yang penuh dengan janji palsu dan retorik. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut menteri bagaikan tiada makna dan hanya memperlihatkan kebodohan diri sendiri.
“Sesungguhnya rakyat Malaysia merindui kerajaan BN yang amat menjaga kepentingan rakyat, keharmonian agama dan kaum, kestabilan politik, tiada kekacauan dan kerancakan pembangunan seiring dengan taraf ekonomi yang amat baik.
“Bubar sahaja Parlimen. Beri mandat sekali lagi kepada rakyat dan kepada kerajaan BN memerintah negara. Yang pasti, hak pasti tertegak dan menang melawan kebatilan dan penipuan PH,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!