Kes tikam: Suspek mengamuk sebelum dibawa ke hospital
SHAH ALAM - Seorang lelaki yang menikam pesakit di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang pada Selasa lalu dipercayai mengamuk di rumah kakaknya sebelum dibawa ke hospital berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, suspek dipercayai datang dari Lahad Datu, Sabah ke rumah kakaknya di Kuala Lumpur.
"Siasatan mendapati suspek bertindak agresif di rumah kakaknya itu, selepas ditenangkan, suspek kemudian dibawa ke Hospital Selayang menaiki kenderaan bersama ahli keluarganya kira-kira jam 1.25 pagi.
"Kereta membawa suspek diiringi dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga tiba di Hospital Selayang dan kemudiannya anggota polis berkenaan beredar untuk meneruskan tugas lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor pada Isnin.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Pihak hospital memaklumkan bahawa suspek kini dalam keadaan yang tidak sesuai untuk ditemu bual.
"Selain itu, polis masih menunggu laporan psikiatri suspek dari pihak hospital bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.
Pada Selasa, seorang lelaki bertindak menikam seorang individu dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang.
Akibat serangan tersebut, mangsa yang merupakan pesakit demam denggi berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!