Tiada larangan media petik sumber untuk laporan berita

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempertahankan hak agensi media untuk menyiarkan berita yang memetik sumber dalam laporan berita.

Beliau menegaskan, tiada sebarang larangan atau sekatan dikenakan terhadap laporan berita yang memetik sumber kerana memahami hak wartawan dan organisasi media dalam melindungi keselamatan serta identiti sumber yang memberi maklumat.

Namun Fahmi (PH-Lembah Pantai) mengingatkan kebebasan itu tetap tertakluk kepada undang-undang, malah laporan berita tidak benar dan berunsur fitnah tetap akan dikenakan tindakan.

"Kita maklum dalam kalangan wartawan ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah.

"Contohnya baru-baru ini, syarikat Awesome TV yang menerbitkan laporan berita fitnah yang memetik sumber atau cadangan dengan mengatakan kerajaan berhasrat membuang lebih 800,000 pegawai penjawat awam.

"Ini fitnah yang sangat jelas. Awesome TV ini sudah enam kali melakukan pelanggaran (undang-undang), termasuk lima kali sebelum ini. Jadi pada jam 12 tengah hari ini, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan bertemu dengan pihak Awesome TV untuk membincangkan kerana pelanggaran ini berlaku waima di pentadbiran sebelum ini sekali pun.

“Kena perlu ada keseimbangan, mungkin ini bersifat perbincangan antara pengamal media dan pihak berkuasa untuk mencari titik temu dalam isu ini," katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat melarang pemberitaan yang memetik sumber dalam kalangan agensi media di Malaysia.

Sementara itu mengenai soalan tambahan Shahidan yang bertanya sama ada kerajaan terancam dengan pengaruh pembangkang di aplikasi TikTok hingga meminta syarikat itu menyekat kandungan tertentu, Fahmi menegaskan, tindakan menurunkan hantaran di aplikasi itu dibuat oleh penyedia media sosial berkenaan berdasarkan garis panduan komuniti.

"Semua syarikat media sosial ada garis panduan komuniti tersendiri dan kerajaan tidak memberi input kepada isi kandungan bagi garis panduan komuniti itu.

"Contohnya TikTok menurunkan kandungan berdasarkan garis panduan komunitinya, sekitar 95 peratus kandungan diturunkan secara automatik berdasarkan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!