Townhall KKR bincang isu kontraktor bumiputera

Nanta (depan, dua dari kiri) pada sesi Townhall bersama kontraktor bumiputera di KKR pada Isnin. - Foto Facebook Alexander Nanta Linggi
Nanta (depan, dua dari kiri) pada sesi Townhall bersama kontraktor bumiputera di KKR pada Isnin. - Foto Facebook Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadakan program Townhall bersama kontraktor bumiputera di kementerian itu pada Isnin bagi membincangkan beberapa isu dihadapi golongan tersebut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, isu yang dibincangkan bersama kontraktor bumiputera itu antaranya isu berkenaan nilai projek bagi kontraktor G1, kontraktor asing, kenaikan harga bahan binaan, dana pinjaman, bayaran kursus dan juga isu pendaftaran G1.

“Sejak hari pertama saya menjejakkan kaki ke KKR, antara isu pertama yang sering diajukan kepada saya adalah berkenaan isu kontraktor bumiputera gulung tikar yang kian meruncing.

“Saya merasakan adalah perlu mendengar sendiri permasalahan, cadangan dan idea yang datang daripada kontraktor-kontraktor itu. Atas dasar ‘dasar pintu terbuka’ yang sering saya tekankan maka telah memanggil semua kontraktor bumiputera G1, G2 dan G3 bersama-sama saya dalam sesi Townhall yang diadakan di kementerian pada hari ini.

“Meskipun angka kehadiran dalam kalangan kontraktor agak rendah namun saya berpuas hati kerana pelbagai isu, masalah, cadangan dan idea telah dapat diketengahkan dalam sesi tersebut oleh kontraktor-kontraktor yang hadir,” katanya di Facebook pada Isnin.

Menurut Nanta, pendekatan sedemikian tentunya selaras dengan nilai ihsan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang berteraskan konsep Madani iaitu keprihatinan dan sikap peduli kepada komuniti terkesan dan memerlukan bantuan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu ‘ali baba’ yang didakwa sering berlaku di kalangan kontraktor.

“Saya mengingatkan semua pihak haruslah bertanggungjawab namun tekankan juga bahawa fokus saya dan kementerian bukanlah untuk mencari kesalahan semata-mata tetapi berusaha ke arah pemerkasaan bagi memastikan semua kontraktor dapat bersaing secara sihat dan berkembang maju.

“Seperti yang saya sebutkan berulang kali dalam sesi tadi iaitu ‘kami di sini bukan untuk menekan tetapi untuk memudahkan’,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!