Yakin tiada pihak tergamak sabotaj Menu Rahmah

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau kualiti Menu Rahmah yang ditawarkan golongan peniaga kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kualiti makanan yang ditawarkan meskipun dijual dengan harga murah.

Beliau juga yakin tiada mana-mana pihak yang tergamak melakukan sabotaj terhadap inisiatif diperkenalkan demi membantu rakyat mendepani kos rasa hidup.

Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama Pengarah Urusan AEON BiG (M) Sdn. Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed menunjukkan barangan Jualan Rahmah pada majlis pelancaran Program Rahmah Aeon Big di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

"Saya tidak percaya ada syarikat terkenal atau individu peniaga walaupun di warung kecil di kampung, ingin berkompromi dengan kualiti (Menu Rahmah).

"Contohnya (gunakan) ikan dah busuk, masak sayur yang dicampak tepi jalan untuk Menu Rahmah. Saya tidak fikir begitu.

"Jadi saya yakin tidak akan ada mereka yang sengaja untuk menyalahgunakan Menu Rahmah itu.

"Saya yakin rakyat Malaysia tidak kira apa agama, bangsa sekalipun, tidak berkompromi tentang kualiti apabila nak buat Menu Rahmah atau Jualan Rahmah," katanya selepas melancarkan Program Rahmah AEON BiG (M) Sdn. Bhd di sini pada Isnin.

Salahuddin menunjukkan barangan Bakul Rahmah kepada penerima pada majlis pelancaran Program Rahmah Aeon Big di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.
Salahuddin menunjukkan barangan Bakul Rahmah kepada penerima pada majlis pelancaran Program Rahmah Aeon Big di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada masa sama, Salahuddin berkata, beliau juga yakin jualan Menu Rahmah akan ditawarkan dalam tempoh jangka masa panjang mengambil kira harga barangan asas bagi penyediaan menu dijangka tidak meningkat secara mendadak dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

Ujarnya, bagi memastikan hal itu KPDN akan terus memantau harga barangan yang terlibat.

"Tiga komponen Menu Rahmah adalah nasi asasnya beras, ikan atau ayam dan sayur-sayuran.

"Saya rasa tak mungkin dalam masa tiga bulan, harga beras naik RM10, harga ayam kita kawal, beras juga harga kawalan. Sayur juga sudah turun harga.

"Saya yakin dan percaya sekiranya harga yang ada pada hari ini tidak naik melampau, Menu Rahmah masih boleh bertahan," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai inisiatif Rahmah bagi pengangkutan ke sekolah, beliau berkata perkara itu memerlukan perbincangan lebih mendalam dengan agensi lain.

"Saya akan adakan libat urus bersama pihak bank dan Kementerian Pengangkutan. Namun kita akan selesaikan mengenai jualan baju Rahmah, Bazar Ramadan Rahmah terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, sempena Program Rahmah, Aeon Big menawarkan 100 produk terpilih yang dijual pada harga lebih rendah untuk meringankan beban pelanggan.

Salahuddin bersama Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn. Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed menunjukkan Pakej Rahmah pada majlis pelancaran Program Rahmah Aeon Big di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Antara barangan terpilih yang dijual melalui Jualan Rahmah itu termasuk beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan keperluan asas lain.

Selain itu, Aeon Big juga memperkenalkan pelbagai set Menu Rahmah berserta air mineral yang berharga RM4.95 terdiri daripada Menu Rahmah Ayam, Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Lemak, Menu Rahmah Ayam Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak.

Bagi Pakej Rahmah, Aeon Big menyediakan pakej barangan keperluan harian bernilai RM50 yang akan dijual di seluruh cawangannya.

Salahuddin bersama Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn. Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed bergambar bersama penerima pada majlis pelancaran Program Rahmah Aeon Big di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!