Mendiang Sarjan Jana dibawa pulang ke Sri Aman
GEORGETOWN - Mayat anggota polis berpangkat sarjan yang ditemui meninggal dunia dengan beberapa kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, di sini akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sri Aman, Sarawak pada Isnin.
Keranda yang membawa jasad mendiang Jana Anak Milie, 51, itu akan dibawa menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Palau Pinang (LTAPP), di sini.
Difahamkan, mayat mendiang telah selesai menjalani proses bedah di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 4.10 petang tadi.
Beberapa ahli keluarga mendiang turut kelihatan menunggu di Jabatan Forensik HPP sehingga keranda yang membawa jasad anggota polis itu dibawa keluar dengan menggunakan kereta jenazah ke LTAPP.
Pada Ahad Sinar Harian melaporkan, seorang anggota polis berpangkat sarjan ditemui meninggal dunia di belakang Balai Polis Bayan Lepas di sini pada jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ditemui dengan kesan tembakan pada leher, dada serta kepala.
Menurutnya, sepucuk pistol turut ditemui bersama mangsa.
"Mangsa merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Bayan Lepas.
"Kes masih dalam siasatan dan saya memohon agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!