KPT sumbang ubat untuk mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

Anggota Perubatan Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengusung seorang penduduk tempatan yang mendapatkan rawatan di hospital tersebut di Chelikhan, Turkiye pada Ahad. - Foto Bernama
Anggota Perubatan Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengusung seorang penduduk tempatan yang mendapatkan rawatan di hospital tersebut di Chelikhan, Turkiye pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi tujuh hospital pengajar universiti (HPU) menyumbang bekalan ubat-ubatan bernilai lebih RM120,000 kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.

HPU terlibat ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Hospital Universiti Sains Malaysia; Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara; Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Menurut KPT dalam kenyataan hari ini sumbangan tersebut adalah berdasarkan senarai keperluan ubatan yang dimohon kerajaan Turkiye melalui Malaysian Medical Relief Society (Mercy Malaysia).

Selain sumbangan ubat-ubatan, 94 sukarelawan perubatan dan 232 sukarelawan bukan perubatan daripada HPU telah menawarkan diri untuk menyertai misi kemanusiaan di Turkiye dan Syria.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria. Lebih 41,000 orang dilaporkan terkorban akibat bencana itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!