Gempa bumi Turkiye: Bunyi wisel mulut selamatkan dua beradik

Kediaman keluarga Muna Abdul Razak yang musnah sepenuhnya di Antakya dalam tragedi gempa bumi kuat melanda Turkiye pada 6 Februari lalu. Gambar kecil: Munir, Majid
Kediaman keluarga Muna Abdul Razak yang musnah sepenuhnya di Antakya dalam tragedi gempa bumi kuat melanda Turkiye pada 6 Februari lalu. Gambar kecil: Munir, Majid
A
A
A

REYHANLI, TURKIYE - Munir Abdul Razak, 17, dan adik bongsunya, Majid, 13, pada satu ketika merasakan peluang mereka untuk hidup sangatlah tipis.

Mereka beranggapan akan dijemput Ilahi pada bila-bila masa, sekiranya siling batu terus menghempap dua beradik itu.

Ini kerana Munir dan Majid terperangkap di ruangan paling dalam selepas bangunan kediaman mereka, di Antakya runtuh dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan negara ini pada 6 Februari lalu.

Sepanjang tiga hari terperangkap, mereka tidak makan dan minum, tambahan pula suasana gelap selain suhu sejuk melampau terutamanya pada malam hari.

"Kami hanya mengharapkan sedikit lubang melalui rekahan bangunan bagi mengetahui siang ataupun malam.

"Debu-debu dan serpihan-serpihan runtuhan sentiasa jatuh di muka kami berdua," kata Munir kepada Sinar Harian.

Munir menceritakan, mereka kehabisan tenaga dan kehilangan suara untuk menjerit meminta tolong.

"Pada satu ketika, harapan untuk terselamat mula memberikan sinar. Kami terdengar bunyi jentera di kawasan sekitar.

"Saya terus menggunakan sekuat tenaga membuat bunyi wisel dengan menggunakan mulut.

"Alhamdulillah, bunyi wisel itu didengari pasukan penyelamat dan kami berjaya dikeluarkan dengan selamat," kata Munir yang hanya mengalami kecederaan luka di tangan kirinya.

Bercerita tentang keadaan sepanjang tiga hari di dalam runtuhan, Munir berkata, sepanjang hari mereka berzikir dan berdoa agar dapat diselamatkan.

"Saya dan adik hanya berzikir sepanjang masa. Dalam ruangan yang sempit kami tidak dapat melakukan sebarang gerakan.

"Kepala katil betul-betul menahan runtuhan dinding. Jika tidak kami akan terkorban," katanya.

Majid pula menceritakan, sewaktu runtuhan itu, abangnya menjadi pelindung buat dirinya daripada terkena serpihan batu yang jatuh.

"Abang saya adalah sumber kekuatan saya. Biarpun dalam keadaan yang mencemaskan, Munir sentiasa menenangkan saya.

"Saya akan kenang pengorbanan Munir kerana tanpanya mungkin saya tidak akan selamat," katanya.

Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kanan) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada keluarga Nazim Abdul Razak, warga Syria yang menetap di Turkiye.
Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kanan) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada keluarga Nazim Abdul Razak, warga Syria yang menetap di Turkiye.

Kedua-dua beradik itu juga menjelaskan doa tanpa henti dari ibu mereka, Muna Abdul Razak, 38, menyebabkan mereka berjaya diselamatkan.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!