Pekerja kedai serbaneka dikhuatiri lemas
KUANTAN - Seorang pekerja kedai serbaneka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama dua rakan di Teluk Tongkang, Pantai Teluk Chempedak di sini pada Isnin.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Muhammad Ikmal Hakim Ahmad, 19, dari Galing di sini manakala dua rakannya juga berusia 19 tahun selamat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya datang ke pantai itu kira-kira jam 1 tengah hari untuk mandi-manda.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dikatakan akan menghadiri temu duga di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah di sini pada Selasa.
"Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya mandi di kawasan berbatu di lokasi kira-kira 100 meter dari pantai Teluk Tongkang.
"Untuk sampai ke lokasi itu, mereka hanya berjalan kaki memandangkan air sedang surut," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, semasa mereka leka mandi, air laut pasang dan laluan untuk balik ke pantai mula berarus deras dan ombak tinggi.
"Mereka cuba berenang ke pantai namun ketiga-tiganya dihanyutkan arus.
"Dua rakan mangsa berjaya sampai ke tepi pantai manakala dia dihanyutkan arus sebelum tenggelam," katanya.
Beliau berkata, rakan mangsa melaporkan kejadian melalui talian 999 untuk mendapatkan bantuan.
"Susulan kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan jam 4 petang melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin dengan kekuatan 40 anggota," katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Saidatul Alia Ahmad, 26, berkata, kejadian menimpa adik bongsu daripada lapan beradik itu hanya diketahui selepas dihubungi seorang lagi adiknya.
Menurutnya, adik perempuannya yang merupakan anak ketujuh menghubungi mangsa namun panggilan dijawab anggota bomba.
"Anggota tersebut beritahu dia (mangsa) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakan di sini (Teluk Chempedak).
"Saya yang ketika itu berada di tempat kerja di sebuah pasar raya di Jalan Beserah segera ke sini bersama ahli keluarga lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Saidatul Alia berkata, ketika tiba di lokasi mendapati beberapa barangan yang ditemui termasuk tuala adalah milik adiknya itu.
"Saya tidak tahu dia datang ke sini walaupun kami tinggal serumah bersama ibu dan seorang lagi adik.
"Setahu saya dia tidak pandai berenang," katanya.
Menurutnya, kejadian itu amat mengejutkan kerana mangsa satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!