Fokus kepada reformasi undang-undang, kebajikan rakyat
SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap reformasi undang-undang dan kebajikan rakyat selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Jelas Ahli Parlimen Muar itu, antara reformasi tersebut ialah penggubalan Akta Pembiayaan Politik dan Akta Perkhidmatan Parlimen yang bertujuan memastikan ketelusan dalam institusi berkenaan.
Selain itu, cadangan lain ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan mewujudkan sebuah suruhanjaya yang berfungsi menyiasat aduan berhubung kesalahan akauntabiliti melibatkan agensi kerajaan.
"Saya ingin isu bayaran kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal diperjuangkan serta memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergerak lebih bebas.
“Saya juga mahu lebih banyak jawatankuasa parlimen yang membincangkan isu seperti perubahan iklim dan pengisytiharan aset ahli politik bagi ketelusan dapat ditubuhkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Syed Saddiq menambah, perkara tersebut tidak seharusnya dilengahkan kerana masyarakat menjadi pemerhati terhadap setiap perkembangan dalam pentadbiran kerajaan kini.
Kata beliau, sekiranya kerajaan berjaya mengusahakan perkara berkenaan, ia secara tidak langsung dapat mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap mereka.
“Walaupun kerajaan ini terdiri daripada pelbagai pihak yang mempunyai perselisihan faham sebelum ini, agendanya masih sama iaitu mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, negara yang tidak lagi berpusatkan kuasa, dengan akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan yang lebih tinggi.
“Itulah yang sepatutnya yang menjadi matlamat dan sasaran kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq turut mengulas bahawa kerajaan bakal berhadapan dengan ujian dalam mengendalikan ekonomi kerana setakat ini negara hanya berjaya mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada empat hingga lima peratus sahaja.
Jelasnya, kadar tersebut bukan suatu yang membanggakan, namun kerajaan diyakini dapat menghadapi perkara itu dengan baik.
Justeru, beliau menggesa setiap ahli Parlimen dan penjawat awam untuk memainkan peranan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Harapan rakyat untuk melihat kerajaan ini berjaya amat tinggi,” kata Syed Saddiq.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!