Malaysia diiktiraf negara contoh, terbaik

Sheikh Dr. Muhammad
Sheikh Dr. Muhammad
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia diiktiraf sebagai negara contoh dan terbaik di seluruh dunia dalam mempromosikan budaya hidup damai walaupun mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya.

Perkara tersebut dikhabarkan ketika Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bertemu dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Muhammad Abdul Kareem Al-Issa dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi, pada Ahad.

Zambry berkata, tokoh Islam itu menganggap Malaysia sebagai negara contoh dalam mewujudkan persefahaman antara peradaban.

"Kami juga senada bahawa isu Islamofobia harus diatasi secara bersama dengan menggunakan pendekatan secara dialog, komunikasi yang baik serta prinsip hidup kebersamaan (co-existence).

"Langkah-langkah yang lebih bijaksana dan berhikmah akan dilakukan melalui persidangan dan dialog secara berterusan. Pendekatan Islam yang moderat, saling menghormati dan ta'ayush (co-existence) akan diusahakan untuk berhadapan dengan gerakan Islamofobia ini," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, Malaysia dan Rabitah akan bekerjasama bagi membetulkan fahaman ekstremisme.

"Pelbagai bentuk keganasan yang banyak merosakkan imej Islam serta menghancurkan negara-negara Islam melalui usaha bersama untuk mempromosikan Islam yang sederhana, toleran dan damai.

Dalam masa sama, Zambry turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha.

Zambry
Zambry

Katanya, kedua-dua belah pihak berpandangan negara-negara anggota perlu berusaha untuk membantu pembinaan semula dan rekonstruksi negara Islam yang pernah menghadapi peperangan seperti Afghanistan, Iraq, Syria dan Libya.

"Amerika dan Eropah serta lain-lain kuasa besar perlu berusaha bersama dengan OIC untuk pembinaan semula negara tersebut melalui bantuan-bantuan kemanusiaan tanpa menggunakan dasar-dasar sekatan (sanction).

"Namun dalam konteks Afghanistan, Malaysia bertegas dasar-dasar diskriminasi terhadap pendidikan wanita hendaklah segera dihapuskan," jelasnya.

Malaysia turut menyarankan agar pendekatan rekonstruksi sosioekonomi negara-negara miskin dan pascaperang (post-war countries) melalui ekonomi dan sistem kewangan Islam dapat dilaksanakan.

"Ia termasuklah dengan menggunakan institusi zakat dan waqaf untuk membantu pembangunan semula negara-negara terbabit.

"Pengalaman Malaysia dalam sistem kewangan Islam dan mikro kredit dapat menyumbang kepada usaha untuk mobilisasi sosial selain mempertingkatkan keupayaan ekonomi mereka dalam tempoh pascaperang," ujarnya.

Sementara itu, pihak OIC bersetuju untuk Malaysia menerajui usaha-usaha tersebut.

"Dicadangkan agar sebuah kertas dasar dikemukakan oleh Malaysia untuk diangkat dalam mesyuarat bersama Menteri-Menteri Luar Negeri OIC nanti.

"Sokongan OIC adalah sangat penting bagi mencari penyelesaian yang holistik dan mampan untuk kemakmuran sejagat negara-negara Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!