Manfaat kuota 45,000 rawatan mamogram
IPOH - Kuota bagi 45,000 wanita khususnya yang berusia 35 tahun ke atas untuk menjalani rawatan mamogram perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita di negeri ini.
Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, setakat ini sebanyak enam klinik termasuk pusat perubatan di sekitar negeri sudah pun berdaftar dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bagi tujuan berkenaan.
Menurut May Ing, enam klinik berkenaan melibatkan BP Lab di Jalan Kampar, Hospital Pakar Ipoh (KPJ), Hospital Pantai di Ipoh serta Pusat Perubatan Anson Bay Teluk Intan, Manjung dan Taiping.
"Sebagai makluman, tahun ini kita dapat 4,500 kuota untuk wanita di Perak. Mereka ini boleh teruslah mendaftar dengan LPPKN untuk jalani pemeriksaan.
"Selain itu, mereka juga boleh menghubungi pihak wakil rakyat (ADUN) kerajaan di kawasan masing-masing bantuan.
"Selain itu, kita juga sedang adakan perbincangan dengan pihak Grab My yang mungkin boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan, dengan kadar harga yang berpatutan," katanya.
May Ing berkata demikian pada sidang media sempena Hari Kesihatan Keluarga di AEON Station 18, hari ini.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sempena hari keluarga berkenaan seperti pemeriksaan kesihatan, serta program derma darah.
Sementara itu May Ing berkata, Hari Kesihatan Keluarga berkenaan ini bakal berterusan di seluruh negeri di sepanjang tahun ini.
"Ada beberapa lagi lokasi untuk penganjuran Hari Kesihatan Keluarga ini dan kita juga sedang usahakan kerjasama dengan pihak swasta berhubung dengan penganjurannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!