77 perhiasan kuno Kemboja yang hilang dipulangkan

Antara emas dan kepingan logam berharga yang dihasilkan semasa zaman praAngkor dan Angkor. - Foto Kementerian Kebudayaan & Seni Halus Kemboja
Antara emas dan kepingan logam berharga yang dihasilkan semasa zaman praAngkor dan Angkor. - Foto Kementerian Kebudayaan & Seni Halus Kemboja
A
A
A

PHNOM PENH - Sebanyak 77 barangan kemas kuno Kemboja yang hilang telah diserahkan kembali ke Kemboja oleh keluarga mendiang pengumpul barang antik Douglas Latchford dari Britain, menurut kenyataan akhbar Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus pada Isnin.

Emas dan kepingan logam berharga itu terdiri daripada mahkota, rantai, gelang, tali pinggang, anting-anting dan azimat dan dihasilkan semasa zaman praAngkor dan Angkor.

Barangan itu tiba di Kemboja pada Jumaat lepas, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu sebilangan daripada khazanah yang belum pernah dilihat sebelum ini, disiarkan dalam buku Khmer Gold: Gifts of the Gods, yang dikarang bersama oleh Emma C. Bunker dan Douglas A.J. Latchford (2008).

Koleksi yang dipulangkan itu, tambahan kepada artifak batu dan gangsa lain yang telah dipulangkan Britain pada September 2021.

Menterinya, Phoeurng Sackona berkata keamanan dan kestabilan politik memberi peluang kepada Kemboja untuk mendapatkan semula khazanah yang tidak ternilai itu yang telah dirompak daripada kerajaan semasa perang beberapa dekad lepas.

"Pemulangan khazanah negara ini membuka era baharu pemahaman dan ilmu mengenai empayar Angkor dan kepentingannya kepada dunia," katanya.

Sackona turut meminta individu, muzium dan institusi lain di seluruh dunia yang memiliki artifak Kemboja supaya memulangkannya.

"Kami menganggap pemulangan itu sebagai tindakan yang mulia, yang bukan sahaja menunjukkan sumbangan penting kepada budaya negara, bahkan turut menyumbang kepada perdamaian dan pemulihan rakyat Kemboja yang melalui dekad perang saudara," katanya.

Pada 18 September 2020, keluarga Latchford bersetuju untuk memulangkan keseluruhan koleksi barangan antik Kemboja selepas rundingan selama tiga tahun, menurut kementerian itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!