'Belum ada individu tampil tawar diri tanding Naib Presiden'
SHAH ALAM - Berbaki kurang seminggu pemilihan UMNO diadakan, namun masih belum ada individu yang tampil menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti itu setakat petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad berkata, belum ada lagi tokoh atau pemimpin UMNO yang mendaftar untuk bertanding jawatan itu tetapi menerima 24 pencalonan untuk jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menjelang hari terakhir pencalonan, Ahad ini.
Katanya, jawatan nombor tiga UMNO itu kini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Setakat semalam, seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat MKT UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri.
"Bagi Ketua Wanita UMNO sudah ada seorang calon, Ketua Pemuda UMNO seorang, manakala Ketua Puteri UMNO enam calon menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu," katanya dipetik menerusi portal UMNO Online pada Isnin.
Media melaporkan, pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 sudah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari ini, di Auditorium Menara Dato' Onn bagi jawatan Ahli MKT UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.
Bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO negeri.
Tambah beliau, seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO, dua calon Naib Ketua Pemuda UMNO dan tiga calon bagi Puteri manakala Exco 22 calon (Wanita), 25 (Pemuda) dan 15 (Puteri) yang sudah mendaftar.
Shahrir menjangkakan, lebih ramai calon akan mendaftar, termasuk bagi jawatan Naib Presiden UMNO sepanjang minggu terakhir ini.
Dalam pada itu, veteran UMNO itu juga menegaskan, kelonggaran kepada tata etika yang diguna pakai sekarang ini dengan kemudahan dalam talian mahupun media sosial harus digunakan.
"Ini termasuk mengadakan pertemuan melalui aplikasi seperti Zoom atau WhatsApp dan sebagainya. Ia boleh diguna pakai untuk menggantikan pertemuan secara bersemuka kerana kita tahu tempoh pemilihan iaitu dari 1 Februari sampai ke tarikh pemilihan 18 Mac adalah pendek," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!