Ular tedung di tepi pondok pengawal kediaman PM ditangkap
KAJANG - Seekor ular tedung sepanjang lebih satu meter ditemui berhampiran pondok pengawal kediaman Perdana Menteri di Sungai Long di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, ular seberat 800 gram itu kemudiannya berjaya ditangkap sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Langat yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 8.05 malam.
Ketua operasi, Koperal Mior Nor Azlan Safian berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira jam 7.33 petang.
"Saya bersama empat anggota kemudiannya menjalankan usaha menangkap ular tedung tersebut yang ketika itu berada di tepi pondok pengawal kediaman Perdana Menteri.
"Ular tedung itu yang pada awalnya bertindak agresif namun berjaya ditangkap kira-kira lima minit kemudian," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, maklumat awal diterima difahamkan ular tedung itu disedari anggota polis bertugas.
"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.
Sementera itu, perkongsian gambar oleh APM turut memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan beramah mesra bersama anggota APM sejurus operasi selesai dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!