Contohi Selangor beri insurans percuma
KERAJAAN harus memandang serius saranan supaya rakyat negara ini khususnya golongan belia diberikan perlindungan insurans kesihatan dan kemalangan mampu milik serendah RM50 sebulan seperti yang dibangkitkan Sinar Harian.
Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sudah memberi jaminan akan mempertimbangkan Insurans Rahmah, namun cadangan itu juga harus disambut oleh kerajaan-kerajaan negeri.
Dalam hal ini, Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan perlindungan insurans kemalangan diri secara percuma menerusi Skim Insurans Am Selangor (Insan).
Lebih 3.5 juta penduduk di negeri itu memohon sejak inisiatif tersebut dilancarkan Oktober lalu. Pendaftaran sehingga 30 September 2023 boleh dibuat melalui aplikasi Wavpay.
Insan adalah polisi insurans kemalangan diri berkelompok untuk enam juta penduduk berusia antara 30 hari hingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.
Skim itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Sebagai permulaan, negeri-negeri kaya eloklah mengikut jejak langkah Selangor.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2021, tujuh negeri paling kaya kerana mencatat nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang melebihi paras nasional ialah Kuala Lumpur yang mempunyai per kapita sebanyak RM124,232, diikuti Labuan (RM78,032), Pulau Pinang (RM58,527), Sarawak (RM57,635), Selangor (RM55,568), Melaka (RM47,799) dan Negeri Sembilan (RM47,452).
Tahun lalu lebih 400,000 kemalangan jalan raya dicatatkan, kebanyakannya penunggang motosikal, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Angka kematian dari tahun 2010 hingga 2019 pula mencatat 67,304 kematian atau purata 20 orang maut setiap hari akibat nahas jalan raya.
Dalam pada itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus atau satu daripada setiap dua rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes yang merupakan punca pelbagai penyakit, sekali gus boleh menjerumuskan mereka ke dalam masalah kewangan memandangkan kos perubatan semakin mahal.
Semua senario tersebut membuktikan perlindungan insurans kian diperlukan. Malangnya separuh daripada rakyat Malaysia tidak memilikinya sama ada tidak mampu atau tiada kesedaran. Di sinilah kerajaan dituntut memainkan peranan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!