Pergi kenduri kahwin bukan nak dengar lagu kuat-kuat
SEPERTI sepinya Syawal tanpa lagu-lagu raya, begitulah juga tidak lengkap rasanya jika majlis kahwin tiada alunan muzik yang boleh membangkitkan nuansa bagi meraikan pasangan raja sehari.
Pemilihan lagu kahwin sebagai latar majlis juga penting supaya majlis tersebut tidak terasa janggal dan kurang meriah.
Di mana-mana tempat Merak Jalanan pergi, lagu kahwin klasik seperti Selamat Pengantin Baru nyanyian Saloma, Joget Usik-Mengusik (Syarifah Aini), Dondang Dendang (Noraniza Idris), Joget Kenangan Manis (Sudirman) dan banyak lagi sering menjadi pilihan DJ bertugas.
Namun, sesedap mana pun lagu kalau dipasang terlalu kuat akan menjadi sebaliknya. Merak Jalanan pernah lalui situasi ini. Malah isu ini turut menjadi perdebatan dalam kalangan netizen.
“Kami pergi kenduri bukan nak dengar lagu kuat-kuat. Kami tak pekak.” Begitu antara kata mereka baru-baru ini.
Bukan tak boleh, tapi kalau dah sampai nak bercakap dengan orang sebelah pun kena jerit, tentulah tak kena. Merak Jalanan tak kata tuan rumah jangan benarkan langsung muzik dimainkan, nanti orang kata macam ada kematian pula. Boleh pasang lagu tapi janganlah terlalu kuat hingga bingit telinga.
Pada cuti panjang persekolahan yang bermula Sabtu lalu pasti ramai yang akan naik pelamin. Bila sebut saja tentang kenduri kahwin, orang dewasalah yang paling semangat untuk hadir.
Apatah lagi majlis kenduri kahwin juga sering jadi tempat untuk kita bersua muka dengan sanak saudara dan kenalan yang sudah lama tidak berjumpa.
Nak dijadikan cerita, baru-baru ini Merak Jalanan ada tonton video yang dimuat naik di TikTok oleh seorang tetamu sebuah majlis perkahwinan.
Apa yang menarik, video itu memaparkan detik-detik seorang kakak yang lanjut usia memeluk dan mencium adiknya kerana mungkin telah lama tidak bertemu. Ramai tetamu sebak melihat keadaan itu.
Sebenarnya, bersilaturahim pada majlis kenduri lebih penting daripada melayan lagu-lagu kahwin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!