SEDA komited bangunkan kecekapan tenaga SAVE 3.0

A
A
A

Program SAVE 3.0 menawarkan dua kategori berbeza bagi pembelian peralatan elektrik berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.
Program SAVE 3.0 menawarkan dua kategori berbeza bagi pembelian peralatan elektrik berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.

SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus komited dengan inisiatif kecekapan tenaga melalui program SAVE 3.0.

Bagi merealisasikan inisiatif kecekapan tenaga, kerajaan telah memperkenalkan Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan pembelian peralatan cekap tenaga.

Ianya dapat membantu menjimatkan penggunaan elektrik khususnya bagi pengguna domestik. Suruhanjaya Tenaga telah mengklasifikasikan peralatan elektrik menggunakan label bintang cekap tenaga dengan label empat dan lima bintang sebagai peralatan yang sangat cekap tenaga.

Program SAVE merupakan inisiatif Kerajaan dalam kerangka strategi Entry Point Project (EPP) 9 di bawah keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) yang memfokuskan peningkatan kecekapan tenaga di Malaysia.

Ia telah dilancarkan pada 7 Julai 2011 dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia adalah agensi pelaksana bagi program tersebut.

Program ini menawarkan rebat untuk isi rumah domestik bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara dengan label cekap tenaga lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan rebat untuk pemilik bangunan yang telah melaksanakan penukaran pengokol (chiller) tidak cekap sedia ada kepada cekap tenaga (terhad kepada jenis penyejuk elektrik sahaja).

Program SAVE terkini iaitu SAVE 3.0 yang dilancarkan pada Januari 2022 telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan merupakan kesinambungan daripada SAVE 2.0 yang dilancarkan pada Januari 2021.

No Image Caption



SAVE 3.0 turut memperkenalkan penambahan kategori peralatan elektrik serta memperkenalkan beberapa barangan elektrik terpilih berlabel empat atau lima bintang iaitu penyaman udara, peti sejuk, televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, dan periuk nasi.

Kejayaan Program SAVE 3.0 ini adalah hasil usahasama pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), SEDA Malaysia serta agensi-agensi berkaitan dalam mempromosikan program ini kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pelbagai platform media.

Usaha pelaksanaan SAVE 3.0 oleh SEDA Malaysia tidak terhenti sekadar sumbangan kepada alam sekitar, ianya adalah selari dengan hala tuju kerajaan ke arah mencapai sasaran negara sifar karbon menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Datuk Hamzah Hussin, berkata, Program SAVE 3.0 merekodkan penebusan lebih RM35 juta e-rebat melibatkan pembelian sebanyak 180,000 unit peralatan elektrik terpilih.

“Sambutan yang cukup memberangsangkan ini membuktikan kesedaran orang awam terhadap manfaat serta kebaikan menggunakan peralatan cekap tenaga,”katanya.

Menurutnya, pencapaian program SAVE 3.0 adalah lebih baik berbanding program SAVE 2.0 yang mencatatkan jumlah penebusan sebanyak RM26 juta untuk 130,000 unit peralatan elektrik terpilih.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kemudahan untuk mengakses penebusan e-rebat dan pelbagai pilihan produk cekap tenaga.

“Setiap isi rumah boleh memilih untuk menebus e-rebat secara dalam talian melalui platform e-dagang (Shopee, Lazada, PG Mall, YouBeli) atau secara fizikal di lebih 1,400 kedai peralatan elektrik seluruh Malaysia yang berdaftar dengan SEDA Malaysia,”katanya.

Hamzah berkata, Program SAVE 3.0 berjaya meningkatkan jumlah bilangan kelengkapan elektrik cekap tenaga bertaraf empat dan lima bintang serta peralatan cekap tenaga di pasaran, di samping menyumbang kepada pengurangan sebanyak 76 ribu tan pelepasan karbon dioksida (CO2).

“Usaha untuk menerapkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan melindungi alam sekitar adalah penting bagi menjamin perubahan amalan hidup masyarakat ke arah mencapai masa hadapan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,”katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program SAVE, anda boleh layari http://www.saveenergy.gov.my/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!