Penganggur mengaku tidak bersalah cederakan anak kekasih

Muhammad Aiman dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku tidak bersalah mencederakan anak teman wanitanya.
Muhammad Aiman dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku tidak bersalah mencederakan anak teman wanitanya.
A
A
A

IPOH - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan mencederakan anak kekasihnya yang berusia enam tahun.

Tertuduh, Muhammad Aiman Razali, 25, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bekas pemandu lori itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di sini, sekitar jam 1 pagi pada 25 November 2022 dan 14 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh ditahan polis dan direman selama tujuh hari selepas dipercayai mendera mangsa yang juga anak teman wanitanya minggu lalu.

Suspek dikatakan kerap kali memukul mangsa dengan menggunakan tangan hingga menyebabkan lebam di bahagian mata kanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!