Penyampai radio tanding Exco Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk

Aliff Al-Farabby menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan kali ini.
Aliff Al-Farabby menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan kali ini.
A
A
A

IPOH - Seorang penyampai radio mengumumkan hasrat bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan kali ini.

Aliff Al-Farabby A Rahim, 36, yang merupakan penyampai sebuah stesen radio utama di negara ini memberitahu bahawa borang permohonannya telah dihantar ke Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Menurutnya, pertandingan itu bukanlah kali pertama tetapi yang kedua disertainya apabila pernah mencuba nasib pada tahun 2016 namun tewas bagi jawatan sama.

"Saya sebenarnya mahu membantu memperkasakan institusi Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk ini. Selama ini saya banyak berbakti di peringkat cawangan dan tiba masanya untuk saya bantu pemuda bahagian.

"Sebab itulah kali ini saya ingin menawarkan diri sekali lagi untuk kali terakhir sebagai Exco Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk memandangkan had umur bagi pemuda sehingga 40 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Cawangan Simpang Empat itu, biarpun pernah tewas pada pemilihan sebelum ini, perkara itu tidak pernah membuatkan dirinya serik bertanding.

Jelas Aliff Al-Farabby, lebih ramai anak muda yang mempunyai latar belakang profesional perlu berada di dalam organisasi parti untuk menarik lebih ramai anak muda bersama UMNO.

Dia optimis untuk memenangi pada pemilihan kali ini berdasarkan sokongan yang diberikan oleh ahli dan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk.

UMNO Bahagian Bagan Datuk diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!