The Citizens impi dakap trofi Liga Juara-Juara
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City memasang impian untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara - gelaran yang tidak pernah The Citizens menangi di peringkat Eropah.
Penjaga gol City, Ederson memberitahu trofi yang sukar diperoleh itu sangat diperlukan kelab apabila The Citizens hampir memenangi trofi berprestij itu pada musim 2021, namun dinafikan Chelsea di pentas final.
Pada edisi lalu pula perjalanan City disekat oleh juara bertahan, Real Madrid setelah tewas di peringkat separuh akhir.
Penjaga gawang berusia 30 tahun itu memberitahu sememangnya menjadi objektif kelab untuk memenangi gelaran tersebut.
“Kami mencuba (untuk memenanginya) dan akan terus mencuba,” ujar Ederson.
Penjaga gol Brazil itu optimis City mampu mara ke final dan mencabar kejuaraan berdasarkan kualiti yang dimiliki pasukan.
“Kami adalah pasukan yang mempunyai kualiti dan ia menjelaskan sejauh mana kelab mampu berkembang sepanjang lima atau enam tahun yang lalu dengan gelaran EPL, Piala Liga, Piala FA dan Perisai Komuniti.
“Gelaran ini adalah apa yang kelab mahukan, itulah yang kami perlukan oleh pemain dan itulah yang pengurus perlukan. Tahun ini, kami akan mencuba. Kami akan mengejarnya,” katanya.
City akan bertandang ke Red Bull Arena untuk menentang Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
“Mereka pasukan yang bagus, dengan pemain yang bagus, jadi kami perlu bersedia. Saya harap kami akan dapat bermain dengan baik, tetapi ia tidak mudah kerana Liga Juara-Juara tidak mempunyai perlawanan yang mudah,” ujar Ederson.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!