Pulau peranginan di Terengganu dibuka semula 1 Mac
KUALA TERENGGANU – Semua pulau peranginan di Terengganu yang ditutup secara tidak rasmi sejak November lalu kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) akan dibuka semula kepada pelancong bermula 1 Mac nanti.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, para pemain industri pelancongan di pulau-pulau sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong pada tarikh tersebut.
“Sebenarnya sekarang pun sudah ada yang buka dan terima pelancong tapi keadaan paling ‘selesa’ adalah pada Mac kerana cuaca lebih baik,” katanya selepas sidang media Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai program tersebut, Ariffin berkata, KBTM 2023 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari di Padang Astaka, Kemaman dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu.
Katanya, lebih 30 aktiviti menarik disediakan sepanjang program berlangsung termasuk jualan pakej percutian dan pelancongan pada kadar harga yang sangat berpatutan serta potongan harga sehingga 50 peratus.
“Sebanyak 21 hotel dan agensi pelancongan mengambil bahagian bagi mempromosi dan memasarkan produk, pakej dan perkhidmatan.
“Kita bawakan juga produk pelancongan seperti bas kayu (BAS Kite) dan beca berhias di mana pengunjung berpeluang menggunakan perkhidmatan itu secara percuma serta pemberian lemang secara percuma pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.
Jelas Ariffin, sebanyak 80 gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran interaktif agensi, permainan tradisional, program keagamaan, persembahan kebudayaan, pameran dinosaur, demonstrasi seni budaya & warisan dan cabutan bertuah turut disediakan.
“KBTM disenaraikan antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu.
“Ini merupakan program siri kedua selepas kali pertama ia dianjurkan pada tahun lalu di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!