Dewan Rakyat kecoh kenyataan titah Agong disediakan kerajaan
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat kecoh seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN - Kebang Kerian) menarik balik kenyataan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan oleh pihak kerajaan.
RSN Rayer mendakwa kenyataan tersebut sebagai sangkaan yang jahat.
"Kubang Kerian telah membuat sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan oleh kerajaan.
"Sangkaan itu adalah sangkaan jahat terhadap Agong. Saya mohon kenyataan itu ditarik balik," katanya ketika mencelah ucapan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menyangkal perkara itu dengan menyifatkan ia sebagai prosedur yang sememangnya diketahui semua pihak.
"Saya pernah jadi anggota kabinet, pernah duduk dalam kerajaan, kita tahu prosedur walaupun beri (teks ucapan) kepada Tuanku, terpulang kepada Tuanku nak pakai atau tidak. Tapi asasnya adalah disediakan dan bentang dalam kabinet," katanya.
Rayer yang tidak berpuasa hati terus mempersoalkan penjelasan Tuan Ibrahim.
"Macam mana Yang Berhormat tahu bahawa Agong telah menerima kenyataan yang ditulis oleh kabinet? Kemungkinan Agong dah pinda.
"Jangan buat kenyataan menuduh... Jangan pertikaikan titah Tuanku. Saya minta kenyataan ditarik balik. Saya mohon ruling (keputusan)," katanya.
Tuan Ibrahim bagaimanapun bertegas untuk tidak menarik balik kenyataan berkenaan.
"Saya fikir tak ada keperluan ditarik balik sebab semua orang faham," katanya.
Kemudian, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) turut mencelah dengan memberi penjelasan bahawa titah Agong bukan lagi ucapan kabinet apabila ia telah diterima.
"Sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menerima ucapan titah yang telah disediakan oleh kabinet, bermaksud ia adalah titah Agong bukan titah kabinet mana-mana kerajaan. Harap faham itu prosedur," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng bagaimanapun meminta Tuan Ibrahim meneruskan ucapan.
Sebelum itu, Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, beliau menyambut baik penjelasan daripada pihak kerajaan bahawa keadilan merupakan ciri penting dalam gagasan Malaysia Madani.
"Sayangnya titah Agong disediakan oleh pihak kerajaan dan dibawa dalam kabinet dan diluluskan dalam kabinet. Kalau kita lihat pada para enam yang mana inisiatif negara Madani merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ehsan dan rahmah, tidak ditulis pun nilai keadilan sebagai teras.
"Sedangkan nilai keadilan perlu dibawa dalam ucapan Tuanku dalam parlimen bukan hanya tersedia dalam dokumen-dokumen luar parlimen. Sepatutnya nilai itu perlu digagaskan dalam ucapan tuanku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!