Suspek utama kes pecah kereta ada pas media Indonesia

Nanda menunjukkan pas media negara seberang yang ditemui daripada suspek utama.
Nanda menunjukkan pas media negara seberang yang ditemui daripada suspek utama.
A
A
A

SEREMBAN - Suspek utama kegiatan pecah kereta di daerah ini dikesan memiliki pas media dari negara seberang dan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek lelaki warganegara Indonesia berusia 34 tahun itu melakukan jenayah tersebut bersama isterinya berusia 30 tahun serta lima lagi rakan senegaranya.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek utama itu menemui identiti pas media Indonesia, namun kita masih menyiasat sama ada pas itu tulen ataupun tidak.

"Suspek dan isterinya ditahan pada 17 Februari lepas seterusnya membawa kepada penangkapan lima lagi suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita warganegara sama berumur 26 hingga 43 tahun, di Jalan Reko, Kajang pada Ahad lepas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban pada Selasa.

Menurut Nanda, pasangan suami isteri itu menggunakan modus operandi dengan memecahkan cermin segi tiga di belakang kenderaan menggunakan alat palam pencucuh sebelum melarikan barang berharga.

"Mereka kemudiannya menyerahkan barang curi itu kepada lima lagi suspek berkenaan untuk digadaikan atau dijual bagi mendapatkan wang," katanya.

Jelas Nanda, kumpulan tersebut menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi di sekitar bandar Seremban sejak Januari lalu.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam tujuh kes curi barang dalam kenderaan dan pecah cermin kereta di sekitar daerah ini.

"Jumlah keseluruhan kerugian barang kes dianggarkan bernilai RM33,700 dengan pelbagai barang rampasan termasuk sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang disewa suspek, beg berjenama, jam tangan, barang kemas dan duit pelbagai mata wang," katanya.

Nanda (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
Nanda (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.

Mengulas lanjut, Nanda berkata, pasangan suami isteri itu masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sejak Disember 2022 manakala lima suspek pada bulan lalu.

"Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 24 Februari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu mencuri," katanya.

Dalam pada itu, Nanda menasihatkan orang ramai supaya tidak meminggalkan barangan berharga di dalam kereta sehingga mendorong kepada kes pecah kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!