Wang RM624,900 lesap diperdaya scammer
KUALA KRAI - Gara-gara melayan panggilan telefon daripada nombor yang mencurigakan, seorang guru dan jurukimpal 'berputih mata' apabila duit simpanan berjumlah RM624,900 lesap ditipu scammer.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes pertama melibatkan seorang guru berusia 49 tahun dari Kota Bharu berlaku pada 6 Januari lalu.
"Pada jam 1.30 tengah hari mangsa yang berada di rumah menerima panggilan daripada sebuah syarikat insuran yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.
"Panggilan itu memberitahu guru tersebut ada membuat tuntutan insuran palsu dan perbualan mangsa disambung ke Balai Polis Dang Wangi untuk bercakap dengan pegawai penyiasat," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa turut diberitahu dia juga terlibat dalam kes penggubahan duit haram dan akan dikenakan waran tangkap.
Ujarnya, mangsa kemudian diminta membayar wang ikat jamin berjumlah RM280,000 selepas disoal siasat dan didapati tidak bersalah.
Muhamad Zaki memberitahu, guru berkenaan telah membuat pinjaman dengan sebuah bank di Kota Bharu pada 12 Januari dan memperolehi wang bersih sebanyak RM280,890.
Beliau berkata, pada 15 Februari lalu, mangsa telah membuat laporan polis dan mendakwa kerugian sebanyak RM285,000.
"Bagi kes kedua pula, seorang jurukimpal berusia 52 tahun dari Kuala Krai menerima panggilan dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai sarjan pada jam 9 pagi 17 November lalu.
"Mangsa didakwa menjual kad pengenalan miliknya dengan harga RM12,000 dan ada individu menggunakannya untuk melakukan aktiviti jenayah," katanya.
Muhamad Zaki memberitahu, lelaki terbabit menafikan hal tersebut dan panggilan telah disambungkan kepada seorang inspektor untuk semakan.
"Disebabkan percaya dengan tuduhan tersebut, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM200,000 melalui 19 transaksi ke dalam sebuah akaun dan sejumlah RM139,900 ke dalam akaun lain melalui 11 transaksi.
"Dia sedar ditipu setelah adik perempuannya yang pulang ke kampung terdengar perbualan telefon antara mangsa dengan scammer," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!