Kerajaan tidak biaya kos selamatkan mangsa sindiket tipu kerja

Mohamad ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mohamad ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri tidak terlibat dengan sebarang pembayaran wang tebusan bagi menyelamatkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, sebarang kos membawa pulang atau menyelamatkan mangsa terlibat adalah ditanggung oleh keluarga mangsa.

"Sebarang kos penghantaran pulang tidak diletakkan bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Tidak ada sebarang kos ditanggung. Ini adalah tanggungan sepenuhnya pihak keluarga dan waris.

"Soal pembayaran balik wang itu juga tak terlibat bawah kerajaan. Tetapi bawah tanggungjawab keluarga dan waris," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu tahu berapakah kos yang ditanggung Kementerian Luar Negeri untuk membawa pulang mangsa terlibat dan sama ada kerajaan terlibat dengan pembayaran wang tebusan bagi menyelamatkan mangsa.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Aminolhuda dalam sesi pertanyaan Dewan Rakyat berhubung langkah-langkah yang telah diambil Kementerian Luar Negeri dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa penipuan di luar negara terutama di Myanmar.

Mohamad Alamin berkata, Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa negara-negara yang terlibat untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa warganegara Malaysia serta memberikan bantuan konsular sewajarnya setelah mereka diselamatkan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air.

"Setakat 20 Februari 2023, KLN melalui Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar) telah menerima sejumlah 572 laporan warganegara Malaysia menjadi mangsa sindiket jenayah job scam (penipuan kerja) di luar negara.

"Daripada jumlah ini, seramai 403 orang telah berjaya diselamatkan dengan 382 orang telah dihantar pulang, termasuk lima orang yang berjaya dihantar pulang pada Ahad lepas.

"Baki seramai 21 orang yang lain sedang ditahan di depoh tahanan sementara menunggu proses yang sama, manakala 169 orang lagi masih sedang dikesan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!