Pemisahan Fakulti Komunikasi dan Media UiTM dilaksana segera
KUALA SELANGOR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang dalam proses membatalkan gabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Fakulti Sains Informasi (FSI) pada kadar segera.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan sebelum membatalkan gabungan itu.
Menurutnya, proses pemisahan perlu dilakukan dengan segera termasuk menyediakan kertas kerja kepada Lembaga Pengarah Urusan (LPU) UiTM.
"Kebiasaannya, proses pemisahan sesebuah fakulti daripada penggabungan kolej mengambil masa paling cepat tiga bulan," katanya semasa sidang akhbar semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup UiTM Health Competition di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam di sini pada Selasa.
Menurut Rodziah, antara yang perlu dilaksanakan seperti pembentukan semula jawatan dekan bagi fakulti, struktur organisasi fakulti, sumber kewangan fakulti dan lain-lain.
"Selepas itu, saya perlu bentang semua perkara ini kepada LPU UiTM untuk kelulusan," jelas beliau.
Pada Isnin, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan FKPM UiTM tidak akan digabungkan dengan FSKM dan FSI seperti yang pernah diumumkan Oktober lalu.
Presiden Persatuan Alumni FKPM, Basree Rakijan, dalam kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, dalam satu mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM di Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!