Buang al-Quran: Lapan individu dirakam keterangan

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Azmi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Azmi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes 13 naskhah al-Quran yang dibuang di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah merakam keterangan individu yang juga saksi awal yang menjumpai al-Quran tersebut.

"Kita juga telah merakam keterangan beberapa individu yang ada dalam video tular tersebut bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program KL Cops Night Ride Polis Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Azmi berkata, pihaknya turut melakukan siasatan di masjid serta surau berhampiran bagi mengenal pasti sama ada jika al-Quran tersebut berasal dari rumah premis berkenaan.

"Kita juga sedang menyemak kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Kita juga akan menghantar naskhah al-Quran itu ke jabatan kimia untuk dianalisa," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 52 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, sebuah klip video mengenai penemuan tersebut tular di platform media sosial Tik Tok.

Pengadu sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan di tasik itu.

Hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg berkenaan.

Pengadu kemudian meminta bantuan daripada seorang lelaki yang berada berdekatan untuk membawa naik beg terbabit.

Kesemua naskhah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama sebelum laporan polis dibuat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!