'Selamat berehat adik bongsu kami'

Edrin Baintim
Edrin Baintim
A
A
A

SHAH ALAM - Selamat berehat kepada adik bongsu kami, itu antara coretan ahli keluarga anggota komando Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang mayatnya ditemui di Tanjung Sepat, Banting setelah 12 hari hilang di perairan Pulau Undan, Melaka.

Ahli keluarga mangsa yang menggunakan akaun Facebook atas nama Andy Loys menerusi hantaran di laman sosial itu berkongsi rasa sedih namun mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari mendiang.

"Terima kasih di atas doa dan semangat yang diberikan kepada kami sekeluarga.

"Selain itu, ucapan terima kasih juga untuk semua agensi yang terlibat dalam misi pencarian adik bongsu kami yang hilang dibawa arus ketika menjalani latihan kursus selam itu," katanya menerusi hantaran dimuat naik pada Isnin.

Katanya, hidup dan mati sudah menjadi ketentuan.

"Siapa kita hanya manusia biasa tidak tahu bila takdir menjemput tapi sudah takdir mati itu pasti bagi manusia.

"Selamat berehat kepada adik bongsu kami, kami yang tinggal juga akan melalui kematian," katanya.

Mayat Edrin Baintim ditemui di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pada Ahad.

Mangsa dikatakan hilang ketika latihan Eksesais Pari Harimau iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama tujuh hari melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota PULPAK, Pasukan Selam Ranjau, KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia.

Operasi itu kemudian diteruskan pasukan komando Tentera Darat sehingga hari ke-10 pencarian yang berakhir pada Selasa lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!